Thursday, May 28, 2009

Kadar Tol Lebuhraya Membebankan Rakyat

  • Akhirnya, Juak-juak pemerintah sendiri telah bersuara akan kebebanan yang mereka hadapi dalam menggunakan perkhidmatan lebuhraya dan tol-tol yang telah dibina untuk meraih pulangan modal dan yang penting adalah keuntungan. Hal seumpama ini boleh dirujuk didalam Akhbar milik pemerintah, Utusan Malaysia keluaran 28 Mei dibawah tajuk "Kerajaan Perlu Serius Atasi Isu Tol-Khir". Setelah 52 tahun mereka berkuasa dan setelah berdekad-dekad jaringan lebuhraya ini dibina dan disiapkan serta boleh digunakan oleh Rakyat, hanya sekali ini baru mereka bersuara, menyuarakan akan bebanan yang perlu ditanggung oleh rakyat saban hari berkenaan kemudahan lebuhraya ini.
  • Untuk pengetahuan anda semua, di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja, ada lebih 18 lebuhraya yang sudah beroperasi dan 2 lebuhraya yang berada didalam pembinaan. Sudah semestinya jikalau namanya adalah lebuhraya tidak sah atau tidak lengkap jikalau tidak didirikan pondok-pondok tol dengan tujuan mengutip kembali modal yang telah dilaburkan dan tidak lari juga keuntungan yang akan diperolehi. Ini adalah kerana pihak konsessi yang bertanggungjawab dalam pembinaan lebuhraya ini haruslah menggunakan modal mereka dahulu dan apabila telah selesai pembinaan ini, mereka dibenarkan oleh pihak pemerintah untuk mengutip kembali modal tersebut dengan mendirikan pondok-pondok tol. Keadaan ini dipanggil Inisiatif Dana Swasta atau Private Fund Inisiative (PFI) dimana Pemerintah tidak akan mengeluarkan sesen pun untuk tujuan pembinaan ini meskipun ianya atas nama Kemudahan Rakyat.
  • Apabila berlakunya perkara ini (PFI), syarikat konsessi berhak membuat apa sahaja terhadap lebuhraya ini termasuk menaikkan kadar kutipan tol selagi ianya tidak melanggar perjanjian antara Syarikat Konsessi dengan Pemerintah. Kenaikkan kadar tol saban tahun atau 3 tahun sekali ini juga temasuk didalam perjanjian ini. Jadi dimanakah ianya yang dikatakan untuk Kesenangan Rakyat ?. Rakyat terpaksa tanggung benda yang pemerintah bina atas nama keselesaan dan kemudahan rakyat, meskipun ianya tidak pernah diminta oleh rakyat.
  • Inilah salah satu daripada sistem pemodal, dimana rakyat perlu menanggung atas benda yang mereka tidak minta, dan jikalau rakyat berkeras membantahnya, mereka akan menggunakan hubungan mereka dengan pemerintah untuk menekan rakyat agar terus menerima langkah ini. Apa yang saya utarakan ini adalah logik dan melalui pengalaman, kita ambil contoh satu lebuhraya yang akan dibina, mestilah ianya akan melalui tanah-tanah milik rakyat dan bagaimana mereka hendak mendapatkan tanah-tanah tersebut ?. Memang benar dan tidak dinafikan yang mereka akan membayar pampasan diatas "rampasan" tanah tersebut, namun persoalannya, adakah nilai itu ditentukan oleh tuan tanah ?. Adakah nilai pampasan itu berbaloi dengan nilai tanah tersebut ?. Tidak bukan, ianya ditentukan oleh Syarikat Pemodal tadi (Konsessi). Tidak kira berapa nilai semasa harga tanah tersebut, Tuan tanah harus menerimanya tanpa dakwa-dakwi, meskipun bayaran pampasan itu tidak memuaskan dan berbaloi.
  • Jikalau Tuan tanah ini terus berkeras dan ingkar atas "saranan" pemodal untuk menerima sahaja pampasan ini, maka satu lagi langkah akan diambil oleh pemodal, iaitu dengan menggunakan hubungan dan sogokan yang telah mereka berikan terhadap Pemerintah atau pihak berkuasa tempatan. Apabila penguasa menunjukkan taringnya, maka secara tidak langsung Tuan tanah ini terpaksa menerima sahaja apa jua saranan, meskipun ianya dilihat zalim dan tidak berperikemanusian. Kasihan bukan, rakyat marhain acap kali menjadi mangsa mereka yang berkuasa dan berdarjat.
  • Di episod yang lain pula, pemodal akan bersetuju dengan tawaran yang ditawarkan oleh Tuan tanah diatas pampasan yang akan diberikan, tidak kira berapa nilainya, asalkan munasabah dan relevan. Namun disebalik "kebaikan" dan "kemurahatian" pemodal ini sebenarnya terdapat rancangan yang tersirat dimana akan membuahkan keuntungan untuk pemodal sahaja, meskipun mereka terpaksa mengeluarkan modal yang agar besar. Ini tidak menjadi masalah pemodal, asalkan hajat dapat ditunaikan dan keuntungan dapat diraih berganda-ganda. Katakan pemodal hanya akan ambil sedikit sahaja tanah dilaman rumah Tuan tanah ini untuk membina lebuhraya, dan pampasan yang diberikan adalah tinggi nilainya berdasarkan permintaan Tuan tanah. Tetapi diakhirnya, pemodal akan melakukan satu cara dimana Tuan tanah ini terpaksa juga menggunakan lebuhraya ini jikalau mereka ingin kemana-mana destinasi yang diimpikan. Pendek kata, Tuan tanah ini mesti melalui tol jikalau ingin keluar jauh dari kawasan rumah. Tidak kiralah hendak ke tempat kerja, membeli-belah, bercuti, balik kampung atau sebagainya. Dari situlah, pemodal ini akan meraih kembali modal yang telah mereka berikan atas nama pampasan tadi.
  • Kebiasaannya, pemodal yang menjadi konsessi lebuhraya ini tadi akan mengikat kontrak dengan pemerintah untuk satu tempoh yang lama, kebiasaannya 20 tahun. Dan didalam tempoh 20 tahun inilah, kenaikkan kadar tol akan terus dilakukan mengikut perjanjian yang telah diikat tadi. Jadi sebenarnya pemodal tidaklah kerugian apa-apa meskipun modal yang dilabur berjumlah ratusan juta ringgit. Mereka akan meraih kembali pelaburan ini bersama dengan keuntungan dalam tempoh tidak sampai 20 tahun pun. Sekali lagi atas nama keselesaan rakyat, kita terpaksa tanggung segala kos operasi yang mereka lakukan tanpa permintaan kita. Inilah dia sifat perniagaan bercorak Kapitalis atau pemodal. Jadi diakhirnya yang rugi dan tercengang adalah rakyat juga.
  • Kesannya yang perlu ditanggung oleh rakyat diatas kenaikkan kadar-kadar tol ini adalah kenaikkan harga barang keperluan yang lain juga. Ini adalah kerana, syarikat-syarikat yang membekalkan keperluan untuk rakyat ini, harus bahkan wajib melalui lebuhraya ini jikalau ingin menghantar keperluan ini ke destinasi yang telah ditetapkan. Kadar tol bagi setiap kenderaan perdagangan adalah tinggi sekali nilainya. Dan ini akan membebankan syarikat-syarikat yang membekalkan barang keperluan tadi, dimana mereka harus menanggung juga kos pengangkutan dan tol yang telah digunakan. Jadi untuk mengelakan kerugian, mereka akan menaikkan harga barang keperluan tadi, dan pembeli yang membeli barang keperluan tersebut wajib juga menanggung untuk kos pengangkutan dan tol tadi. Maka, harga keperluan akan terus meningkat, dan rakyat juga yang tersepit.
  • Penyelesaian kepada segala pemasalahan ini adalah, rakyat tidak seharusnya menanggung apa yang telah dibuat dan dilakukan kononnya untuk mereka meskipun mereka tidak meminta. Kadar tol untuk kenderaaan perdagangan haruslah diseragam dan diminimakan agar ianya tidak membebankan rakyat dihujungnya. Rakyat tidaklah harus dilibatkan secara tidak langsung atas segala pemasalahan yang telah dilakukan oleh Kaum Pemodal. Rakyat berhak mendapat apa yang telah mereka bayar selama ini untuk negara.

No comments:

Post a Comment