Tuesday, May 26, 2009

Sampai Bila Sistem Pengangkutan Kita Membebankan Rakyat

Sampai Bila ?. Itulah tajuk Utusan Malaysia 26 Mei bagi merujuk kepada masalah pengangkutan awam yang begitu teruk sekarang ini. Masalah yang diutarakan adalah kesesakan didalam pengunaan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Baik bas mahupun LRT dan tidak lupa juga KTM Komuter. Kesesakan yang dimaksudkan adalah kesesakan penumpang-penumpang sistem pengangkutan awam ini yang terpaksa beresak-esak, berhimpit-himpit dan juga berkejar-kejar didalam penggunaan sistem ini. Didalam masalah ini, hal keselamatan ditolak ketepi, yang lebih utama bagi penumpang adalah mereka dapat menggunakan pengangkutan ini dan seterusnya boleh sampai ke destinasi yang dikehendaki dengan cepat. Tidak lagi timbul soal keselamatan bagi mereka ini kerana masing-masing berlumba-lumba untuk menggunakan sistem ini bagi membolehkan mereka sampai ke tujuan yang dirancang tanpa sebarang halangan meskipun ianya membahayakan diri mereka sendiri.

Jikalau dikaji-kaji dan didalami sitem pengangkutan ini sebenarnya, ianya tidaklah terlampau mesra penumpang atau mesra rakyat sebenarnya. Ianya hanyalah sekadar cukup syarat bagi membuktikan bahawa Pemerintah juga mampu membuat apa yang terdapat di Luar Negara. Adakah ini hanya gula-gula yang ditabur untuk mengkaburi ,lantas membodohkan rakyat yang konon-kononnya mereka juga mampu walhal sebenarnya tidak sempurna ?.Kita kupas satu persatu apa yang dikatakan tidak mesra penumpang atau mesra rakyat sebenarnya.

Soal laluan sistem Rapid KL(Star dan Putra LRT) yang mana bermula di Stesen Terminal Gombak dan berakhir di Stesen Kelana Jaya bagi Putra LRT. Ianya adalah satu laluan yang panjang dan mengambil masa hampir satu jam jikalau bermula di Terminal Gombak dan Berakhir di Stesen Kelana Jaya. Disepanjang laluan ini umum mengetahui ianya adalah kawasan-kawasan yang terletak didalam pola penduduk yang tinggi sekali ataupun kawasan-kawasan perumahan yang padat. Namun masalahnya adalah Stesen ini terletak agak jauh dari Kawasan perumahan dan mengalami kesukaran bagi penumpang yang menggunakannya kerana sistem bas(suttle) yang disediakan tidak terlampau kerap dan melalui setiap kawasan-kawasan perumahan itu. Ianya hanya melalui jalan-jalan besar sahaja. Ini amat menyukarkan pengguna jikalau ingin menggunakan khidmat Rapid KL ini, kerana mereka terpaksa menapak jauh ke jalan besar bagi mengambil Bas ini yang seterusnya membawa mereka ke Stesen-stesen yang berhampiran(hakikatnya tidak hampir) dengan kawasan perumahan mereka. Kita tidak mengharapkan Bas-bas ini berhenti atau lalu betul-betul dihadapan rumah mereka, cukuplah sekadar di kepala-kepala simpang yang menjadi laluan masuk kekawasan perumahan mereka, Jadi mereka tidaklah perlu menapak sehingga hampir 2km hanya untuk mendapatkan perkhidmatan bas ini bagi membolehkan mereka menggunakan khidmat Rapid KL. Sekurang-kurangnya mereka sudah boleh menjimatkan masa perjalanan hampir 50% dengan berjalan kaki, bayangkan bagaimana ketika musim hujan dan mereka terpaksa menapak sehingga 2km dan mengharungi segala lopak air bagi mendapatkan perkhidmatan bas ini. Walhal pihak perbandaran telah menyediakan kemudahan perhentian bas(bus stop/stand) di kepala-kepala simpang perumahan mereka.

Soal seterusnya adalah soal tambang yang dikenakan bagi setiap penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini. jikalau dilihat, harga tambang yang dikenakan adalah tinggi sebenarnya meskipun ada sesetengah pihak berpendapat ianya munasabah dan berpatutan. Bagi pengguna yang menggunakan perkhidmatan ini seharian untuk ke pejabat(pengguna tetap), tentu akan merasa akan keperitan untuk membayar harga perkhidmatan ini, Itu belum ditambah akan kenaikan harga tambang dari semasa ke semasa atas alasan kenaikkan bahan bakar atau penaiktarafan perkhidmatan. Mungkin ada yang bercakap, mereka juga memberi perkhidmatan Pas Bulanan, namun tahukah anda berapa harganya pas bulanan tersebut, dari RM 60 sebulan telah naik kepada hampir RM100 sebulan. Ia adalah satu kenaikkan yang mendadak dan membebankan bagi mereka di kelas menengah dan bawahan. Dan pas bulanan ini tidak boleh digunakan disetiap perkhidmatan pengangkutan awam di KL ini, jikalau pas itu hanya untuk Rapid KL, Ianya hanya boleh digunakan untuk Rapid KL sahaja, tidak boleh digunakan untuk KL Monorel atau KTM Komuter. Bayangkan kalau seseorang itu terpaksa menukar dua-tiga kali laluan dan menggunakan perkhidmatan yang berbeza-beza setiap hari untuk ketempat kerja mereka. Berapa puluh ringgit lagikah yang mesti dibelanjakan saban bulan ?.

Yang seterusnya adalah soal masa dan kelajuan. Bagi saya sistem pengangkutan awam di Malaysia ini masih belum dapat mencapai taraf sistem penangkutan di negara-negara maju dan membangun lain. Sistem pengangkutan di Tanah Air kita amat tidak efisien sekali dan kadang-kala ianya membebankan bagi pengguna tetap. Bayangkan kekerapan sistem pengakutan ini yang mengambil masa hampir 5-10 minit untuk tiba disesuatu destinasi itu. Dalam masa ini, penambahan pengguna akan meningkat sekali atau dua kali ganda. ditambah pula koc yang pendek. Adakah cukup untuk menampung kebanjiran penumpang yang tidak putus-putus tiba ?.Belum ditambah lagi jikalau sistem ini mengalami masalah atas alasan teknikal.

Keselesaan adalah juga perkara utama yang perlu dititik-beratkan, terutama soal alat penghawa dingin didalam setiap koc tersebut. Bayangkan tren yang beresak-esak dengan penumbang yang bermacam ragam dan kerenah serta bau-bauan terpaksa mengharungi suhu yang panas dan tidak selesa sehinggakan ada penumpang yang pengsan atas situasi ini. Soal keselesaan amatlah tidak sesuai dengan apa yang pengguna bayar sebenarnya. Seharusnya pengguna mendapat lebih dari apa yang mereka dapat sekarang ni berdasarkan nilai yang perlu mereka bayar.

Pihak yang berkaitan terutama pihak pemerintah haruslah menkaji dan mencari titk pennyelesaian perkara ini. Contohilah sistem pengangkutan di negara-negara jiran kita yang lebih efisien dan teratur. Baik dari segi laluannya, tambangnya, kecepatannya dan juga keselesaannya. Mereka tidak perlu hendak mengwar-warkan kepada dunia yang mereka adalah yang pertama dalam setiap aspek. Mereka tidak perlukan publisiti murahan seperti ini. Yang mereka pentingkan dan utamakan adalah soal kebajikan dan keselesaan rakyat dan yang paling penting rakyat dapat apa yang setimpal dengan apa yang mereka bayar. Mereka hanya selaraskan sahaja sistem pengangkutan ini dan tidak mengkomersialkannya kerana ini adalah kepentingan rakyat, baik dari segi tambang, keselesaan dan perjalanan.

Apakah belum cukup publisiti-publisiti yang mengatakan pemimpin itu, pemimpin ini turun padang dan kesannya masih ditakuk lama ?.Apakah perkara utama yang menjadi tinjauan mereka dari masalah dan keselesaan rakyat ?. Apakah belum cukup pemimpin itu dan pemimpin ini bising soal pengangkutan awam semenjak dari pemimpin terdahulu dan pemimpin sekarang ?.Apa yang paling utama disini adalah soal kebajikan rakyat dan satu sahaja caranya, jangan memperdagangkan atau mengkomersialkan soal yang berkaitan dan penting untuk rakyat. Ini kerana rakyat berhak mendapatkan hak mereka sebagai pembayar cukai. Utamakan rakyat dari agenda-agenda peribadi yang mendatangkan keuntungan kepada segelintir pihak.

No comments:

Post a Comment