Monday, June 22, 2009

Kenapa Aku Keluar UMNO...

  • Persoalan demi persoalan kerap diutarakan oleh rakan-rakanku, baik didalam parti yang sama perjuangan, baik juga didalam parti lawan(bekas partiku dulu). Persoalannya adalah sama, "Kenapa kau keluar UMNO" ?. Dan persoalan ini acap kali kedengaran dan dipersoalkan setiap kali mereka bertemu denganku. Sehinggakan aku sudah jemu dan muak untuk menjawab soalan yang sama, sehinggakan aku berasa ingin merakam sahaja jawapanku ini dan putarkan untuk mereka dengar jikalau masih mengutarakan soalan yang sama.
  • Baiklah, aku akan menjawab segala persoalan-persoalan ini didalam blogku ini. Persoalannya "Kenapa aku keluar UMNO" ?. Aku telah bersama dengan UMNO kurang lebih 10 tahun lamanya, satu dekad atau satu dasawarsa lamanya aku bersama dengan UMNO. Semangat perjuanganku(nasionalisme) amat menebal ketika bersama dengan UMNO, sehinggakan aku sanggup melakukan apa sahaja atas nama Nasionalisme atau Bangsa. Ini yang diajar dan disemai dalam jiwa dan sanubariku oleh UMNO, iaitu berjasa dan membela Bangsa. Apa-apa sekalipun utamakan bangsa dahulu. Aku beranggapan bahawa UMNO sahajalah satu-satunya Parti yang boleh membela bangsaku, bersesuaian dengan semangat Nasionalisme ku yang tebal sejak dari kecil lagi, dan aku sanggup melakukan apa sahaja demi UMNO satu ketika dulu kerana beranggapan ianya adalah pengorbanan demi Bangsa(Nasionalisme).
  • Aku mula mengenal dan berjuang bersama dengan UMNO ketika dibangku sekolah lagi, ketika itu aku tidak takut untuk menonjol didalam politik kerana aku tahu bahawa Pemerintah tidak akan mengambil tindakan terhadap ahlinya meskipun ianya bertentengan dengan undang-undang dan dasar pendidikan negara. Aku kerap menghadiri dan menonjol didalam majlis-majlis yang telah dianjurkan oleh UMNO baik diperingkat kecil mahupun besar. Sehinggakan diwaktu itu, kehidupanku cukup mewah dengan koleksi-koleksi dan saguhati serta cenderamata dari UMNO. Apabila tiba musim pilihanraya sahaja, koleksi-koleksiku semakin bertambah dan berlambak, baik dari segi benderanya, "buttonnya", topinya, kemeja-Tnya dll cenderamata dari UMNO, ditambah pula orangtuaku bekerja dengan orang tertinggi dalam parti dan negara.
  • Namun, hati aku tidak dapat menyembunyikan perasaan dan sanubari sebenarnya. Elitis dan kemewahan sebenarnya tidak dapat menyembunyikan perasaan dan sanubariku sebenarnya. Aku tidak dapat menerima hakikat bahawa hati dan sanubariku adalah untuk rakyat dan kaum proletar. Aku tidak dapat menyembunyikan yang aku tidak sanggup melihat rakyat ditindas oleh penguasa. Aku tidak dapat mengelakkan untuk membela nasib mereka yang berada di bawahan. Aku tidak dapat menerima bahawa didalam dunia yang serba moden ini, masih ada mereka yang susah dan terindas.
  • Akhirnya, pada tahun 2009 ini aku menongkah-arus dan membuat satu keputusan yang tidak disangka-sangka serta mendapat tentangan hebat dari rakan-rakanku didalam UMNO. Aku akhirnya membuat pilihan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat(PKR), satu parti yang aku tentang habis-habisan satu ketika dahulu meskipun pada waktu itu rakyat telah mula menunjukkan sokongan terhadap PKR(peristiwa 1998 dan 2008). Keputusan yang aku buat ini mengejutkan banyak pihak, terutama penyokong-penyokongku didalam UMNO dahulu. Mereka meracuni aku dengan bermacam-macam alasan dan sebab musabab agar aku tidak meninggalkan UMNO dan menyertai PKR. Namun semua itu tidak boleh menghalang dan mengubah jiwa dan sanubariku untuk bersama-sama dengan Proletariat. Peninggalan ku dengan memberi kata dua kepada mereka. "Kalau mahu masyuk ikutlah UMNO, kalau mahu membela rakyat tanpa balasan ikutlah Aku", namun, sarananku ini tidak mendapat sambutan. Mungkin mereka memandang kepada kemewahan dan kesenangan jikalau bersama dengan UMNO.
  • Hampir lebih satu dasawarsa aku bersama UMNO dan hidup dalam keluarga yang menyokong UMNO, jadi tidak mustahil aku tidak tahu segala salah-laku, penyelewengan dan bermacam-macam perkara mungkar yang telah dilakukan UMNO. Ini juga sebahagian yang menjadi sebab-musabab aku meninggalkan UMNO. Aku adalah anak yang mendapat didikan agama sejak dari kecil, tidak hanya melalui orang tuaku, tetapi melalui guru-guruku juga. Jadi aku tahu perkara yang mungkar dan perkara yang makhruf. Aku kenal dan mengerti akan baik buruk, dosa dan pahala. Namun semua itu kudiamkan, kerana ianya dilakukan oleh Parti yang aku sanjungi dahulu. Sampai bila aku hendak bersyubahat dan menyembunyikan kebathilan ?. Sampai bila aku hendak menutup mata melihat kerakusan dan penyelewengan berlaku dihadapan mataku ini ?. Sampai bila aku terus melihat mereka yang kaya bertambah kaya dengan menyalahgunakan wang negara dan rakyat bertambah papa kedana atas perkara yang mereka lakukan itu ?. Sampai bila ?.
  • Akhirnya kebenaran muncul juga, aku memilih jalan yang meskipun dikatakan ianya sukar dan penuh rintangan namun ianya adalah jalan yang selamat dan mendapat keberkatan dari Sang Pencipta. Ayuh rakan-rakanku yang masih bersama UMNO, berubahlah, kerana sekarang adalah masa untuk perubahan kearah Malaysia baru.

No comments:

Post a Comment